Juara Juara Bakal Tunjuk Kehebatan Di Separuh Akhir Muzik Muzik 31 (2016)
Memang rugi kalau anda tak saksikan pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-31 kali ini. Ini kerana pertandingan kali ini bakal digegarkan dengan persaingan hebat antara bekas juara Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lepas-lepas yang bakal beradu kekuatan vokal sesama mereka atas pentas yang sama. Barisan pemenang hebat ini terdiri daripada nama-nama besar seperti Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Black dan Misha Omar. Semua penyanyi ini jelas sekali mempunyai vokal mantap tersendiri dan tak boleh dipertikaikan lagi.
Mempertaruhkan lagu Lelaki Teragung, Dayang yang pernah merangkul anugerah Vokal Terbaik selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada AJL 29 dan 30 pastinya akan memberikan saingan yang sengit pada vokalis lain. Seorang lagi juara, Jaclyn Victor pula yang menjulang trofi pada AJL ke 28, memang terkenal dengan suara yang 'power' dan mantap. Manakala Hafiz yang menyandang tiga gelaran berturut-turut merupakan antara penyanyi lelaki paling berjaya di pentas AJL apabila beliau menang vokal terbaik pada AJL 25, 26 dan 27.
Tidak lupa, seorang lagi bekas juara ialah pemenang program realiti popular Mentor yakni Black, yang mengungguli kategori berkenaan pada AJL 24. Misha Omar pula menjulang trofi Vokal Terbaik pada 2003 dan 2004 apabila berjaya menawan hati juri menerusi lagu popularnya Bunga-Bunga Cinta serta Pulangkan.
Berikut sisipan kata-kata Dayang mengenai persiapan yang dilakukan menjelang persembahan pada peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung, dipetik di Bharian.com.
"Sejujurnya, Dayang sangat teruja kerana kebanyakan artis yang layak ke peringkat separuh akhir ialah mereka yang pernah Dayang jumpa sebelum ini. Masing-masing kembali untuk memeriahkan pertandingan ini. "
"Dayang perlu kreatif supaya persembahan Dayang nanti dapat memberikan impak dan meninggalkan memori kepada penonton."
Dayang Nurfaizah berkata demikian pada sidang media pengumuman calon Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 yang diadakan di Mutiara Damansara. Sementara itu, sebanyak lima daripada 30 lagu dipertandingkan pada peringkat separuh akhir, yang akan bermula Jumaat ini, terpilih menerusi jalan pintas.