Siti Sarah Dalam Kenangan...
Penyanyi Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pada jam 5:13 pagi, Isnin, 9 Ogos 2021. Berita sedih itu dimaklumkan suaminya Shuib Sepahtu melalui Instagram.
“Pada 5.13 minit pagi, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan al-Fatihah,” katanya.
Sebelum itu penyanyi popular dengan lagu Semakin dan Kesetiaan itu terpaksa ditidurkan pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19.
Doktor juga terpaksa melakukan pembedahan ke atas Siti Sarah bagi menyelamatkan kandungannya, Ayash Affan. Bayi lelaki itu selamat dilahirkan tidak lama kemudian.
Sebelum majlis bacaan Yassin dan doa selamat yang diadakan malam tadi, Shuib memaklumkan , paras bacaan oksigen Siti Sarah menurun 40 peratus, malah isterinya sudah ditiarapkan dan berada dalam keadaan kurang baik.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dia dan keluarganya positif Covid-19 selepas seorang pembantunya terkena jangkitan Covid-19.